Apa yang arwah ayah ajarkan selama hidupnya?

Assalamualaikum wbt.
Bila dah dekat nak berjumpa dengan bulan Ramadhan ni macam-macam kenangan kembali menerpa. Lebih-lebih lagi kenangan dengan orang yang dah tak ada.. Untuk aku, ayah dan nenek lah orangnya.. Apa yang ayah ajarkan padaku selama hayatnya?

Paling aku ingat...:

1. Membaca surah Yasiin setiap hari Khamis (malam Jumaat)
Ayah bukanlah seorang alim dan strict bab agama. Tapi aku paling ingat dan takkan pernah lupa bab membaca Yasiin setiap malam Jumaat, tak pernah miss! Kalau hari Khamis, arwah mesti mengelak untuk keluar selepas habis waktu bekerja (ayah kerja office hour). Sampai masa arwah pergi, terngiang-ngiang suara bacaannya di telinga. Allahu.. Semoga ganjaran pahala besar dikurnia Allah kepada ayah atas perbuatannya itu. Amiin.

2. Tak tinggal solat
Walau dimana pun, bila tiba waktu solat mesti arwah akan berhenti di masjid atau surau untuk solat. Meskipun kami cuma ke bandar (30minit jarak perjalanan), arwah akan berhenti di stesen minyak untuk solat di suraunya.. Malahan, dalam wasiatnya juga berkali-kali arwah pesan pada kami sekeluarga tentang solat.

3. Sayangi ibu
Semasa hayatnya selama yang aku ingat, arwah cuma ada ibu.. Atuk dah meninggal lama, aku pun tak pernah jumpa atuk. Nenek memang menjadi keutamaan arwah. Setiap bulan mesti ada 1 atau 2 hari nenek akan tidur di rumah kami walaupun jarak rumah nenek cuma 10 minit je. Duit belanja takyah cakap lah, memang akan diberi setiap kali gaji. Kalau dah dekat nak masuk Ramadhan pulak, arwah mesti bawa kami adik beradik pergi berbelanja barang dapur & tak pernah lupa untuk nenek sekali. Semoga perbuatannya yang ini menjadi asbab arwah ke syurga. Amiin.

4. Lemah lembut dalam pertuturan
Percaya atau tidak, aku tak pernah kena pukul dengan arwah. LANGSUNG takpernah. Malahan nak jerit atau tinggi suara pun susah sangat berlaku. Arwah memang lembut je bila bercakap. Kalau marah, arwah lebih memilih untuk diam. Jadi bila diam, kami semua faham dah yang arwah tengah marah.

Itulah antara perkara yang paling aku ingat dan selalu terngiang-ngiang di benak ini. Sebenarnya banyak sangat lagi, contohnya arwah selalu tarik tangan bila budak salam dengan dia, suka makan di rumah, selalu memuji anak-anak, gemar bergurau senda dengan anak-anak, menyanyi dan berteka-teki. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan dikurniakan syurga tertinggi! AMIIN..

Comments